Pages

tabung nikah saya

Makhluk Bumi Disini

Monday, June 27, 2011

WoooW! 152,700 pasangan bukan Islam daftar kahwin setahun

Terbaca dalam mstar on9 tadi, mengenai 52,700 pasangan bukan Islam daftar kahwin setahun. Hoho, bilangan yang sangat besar juga. Ni petikannya.....
 

Bahagian Perkahwinan dan Perceraian di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya.
 
BERPAKAIAN pengantin berwarna ceria dilengkapi aksesori serta jambangan bunga sebagai penyeri pastinya mencuri perhatian bagi sesiapa yang memandang.

Terdapat pasangan yang mengenakan gaun dan kot malah antara lain menjadikan busana tradisional sebagai pilihan mengikut adat dan budaya masing-masing.

Jika dilihat dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki, semua pasangan itu jelas seperti mahu melangsungkan perkahwinan.Peliknya, mereka seperti pengunjung lain yang hanya berpakaian biasa sedang menunggu giliran untuk membuat urusan di kaunter.

Suasana bertambah meriah apabila terdapat pasangan yang ditemani oleh ahli keluarga dan kenalan di mana sebahagiannya juga berpakaian mengikut tema.

Keterujaan mereka jelas kelihatan apabila ada yang sanggup hadir seawal pukul 8 pagi demi menanti debaran untuk bergelar pasangan Raja Sehari.

Keadaan tersebut pastinya menimbulkan persoalan dan kehairanan di kalangan pengunjung mengenai kehadiran pasangan-pasangan di situ.

Mungkin ramai tidak tahu namun begitulah suasana yang lazimnya dapat disaksikan di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terutama di ibu pejabat dan cawangan ibu negeri seluruh negara.

JPN bukan sahaja sebagai sebuah jabatan yang merekodkan pengenalan diri, kelahiran, kematian, anak angkat dan warganegara bahkan berperanan mendaftarkan perkahwinan bukan Islam di negara ini.
Jabatan ini juga menjadi saksi kepada pasangan bukan Islam untuk berkahwin kerana kemudahan bagi upacara pendaftaran perkahwinan turut disediakan sebagai pilihan.
Alwi Ibrahim
 
Upacara itu dilakukan oleh pendaftar yang dilantik oleh JPN namun sebahagian besar mereka turut memilih gereja atau kuil sebagai lokasi untuk hari bersejarah yang didaftarkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan (PPP).

Ketua Pengarah JPN, Datuk Alwi Ibrahim (kini Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KDN) berkata, sebanyak 52,725 pasangan bukan Islam mendaftar perkahwinan di negara ini sepanjang tahun 2010 dan bagi tempoh Januari sehingga Mei tahun ini mencatatkan 16,261 pasangan bukan Islam.

“Secara purata, jumlah pendaftaran perkahwinan bukan Islam sehari di negara ini pada 2010 adalah 140 pasangan dan pernah mencecah sehingga 3,328 pendaftaran pada 10 Oktober 2010.
“Jumlah mendadak naik berikutan ia merupakan tarikh unik,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.
Bagi tarikh 9 September 2009 , sebanyak 4,608 perkahwinan telah didaftarkan.

Timbul kekeliruan

Alwi berkata, sehingga kini sebanyak 111 cawangan JPN di seluruh negara bagi pendaftaran perkahwinan. Selain itu, terdapat 912 gereja, kuil atau persatuan membabitkan seramai 1,389 PPP berdaftar atau aktif di seluruh negara.

Jelasnya, pendaftaran perkahwinan bukan Islam di bawah peruntukan undang-undang iaitu Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

“Pasangan yang tidak mendaftar menyebabkan status perkahwinan tidak sah dan dianggap sebagai bersekedudukan manakala status anak mereka pula tidak sah taraf yang memberi kesulitan dalam pelbagai urusan kelak,” katanya.

Walaupun pendaftaran perkahwinan dilakukan di JPN namun penceraian dan pembatalan perkahwinan perlu disahkan di mahkamah.

Menurut Alwi, JPN hanya merekodkan pengesahan perceraian atau pembatalan perkahwinan, masing-masing sebanyak 187 dan 23 permohonan sepanjang 2010.

Dalam pada itu, katanya, segelintir pasangan tidak mengetahui bahawa mereka seharusnya perlu mengikut prosedur yang ditetapkan bagi mendaftarkan perkahwinan.

“Ada yang beranggapan boleh terus mendaftar perkahwinan pada hari yang sama membuat permohonan di kaunter JPN.

“Namun JPN menyediakan pengecualian ke atas pasangan yang mempunyai sebab-sebab munasabah yang membolehkan proses pendaftaran perkahwinan dipercepatkan.

“Sebab-sebab munasabah itu seperti pihak wanita sudah hamil dalam fasa akhir sebelum bersalin serta pasangan perlu ke luar negara atas urusan kerja,” kata Alwi.

Berhubung kekeliruan lain, kebiasaannya ia melibatkan lokasi pendaftaran perkahwinan serta perbezaan antara kahwin tanpa lesen dan kahwin berlesen.

Alwi berkata, kahwin tanpa lesen boleh dimohon bagi pasangan yang berusia genap 21 tahun dan boleh berkahwin dengan sukarela.

“Kahwin berlesen pula disebabkan oleh faktor tertentu seperti pemohon genap 18 tahun tetapi di bawah 21 tahun dan upacara perkahwinan di luar pejabat JPN,” katanya.

Sekadar pilihan

Upacara pendaftaran perkahwinan bukan Islam akan dilakukan selepas 21 hari tetapi tidak melebihi enam bulan daripada tarikh permohonan.

Perkahwinan yang dilangsungkan mengikut adat, agama, undang-undang atau kelaziman sebelum Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 iaitu pada 1 Mac 1982 disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Akta tersebut.

Pendaftaran perkahwinan bagi pasangan berkenaan tidak wajib namun digalakkan untuk didaftarkan secara sukarela untuk rekod dan dokumentasi.

Alwi berkata, pendaftaran perkahwinan merupakan satu peristiwa bersejarah maka JPN berperanan untuk mewujudkan persekitaran yang bersesuaian.

“Tiada diskriminasi terhadap mana-mana pasangan bukan Islam dari segi agama atau bangsa yang mahu mendaftarkan perkahwinan dan semuanya diproses secara adil.

“Namun berdasarkan maklum balas pasangan yang mendaftar di JPN, kemudahan upacara yang disediakan memudahkan kelangsungan perkahwinan campur selain ia memudahkan majlis dan menjimatkan kos,” katanya.

Setiap dewan atau bilik upacara pendaftaran perkahwinan boleh digunakan oleh semua pasangan tanpa mengkhususkan agama atau bangsa tertentu.

Beliau menambah, JPN juga memberi kebebasan kepada mereka untuk berpakaian mengikut adat, bangsa atau agama masing-masing seperti berpakaian tradisional.

“Kemudahan yang disediakan oleh JPN adalah sekadar pilihan kerana pemohon boleh melangsungkan upacara pendaftaran perkahwinan mengikut citarasa mereka sendiri.

“Apa yang penting adalah pendaftaran perkahwinan bukan Islam di negara ini mesti dilakukan oleh pendaftar yang dilantik dan melalui upacara secara teratur dan sistematik mengikut undang-undang,” kata Alwi.

No comments:

Post a Comment