Pages

tabung nikah saya

Makhluk Bumi Disini

Tuesday, November 29, 2011

Bersunat sempena cuti sekolah - Makcik dan sepupuku masuk paper

Bersunat sempena cuti sekolah


Ibu bapa menyuapkan pulut kuning kepada anak masing-masing sebelum bertolak ke Klinik Kesihatan Bunohan untuk berkhatan di SK Pohon Tanjong, Tumpat.


TUMPAT 28 Nov. - Setiap kali tiba musim cuti persekolahan, pelbagai perancangan diatur ibu bapa dan masyarakat setempat untuk mengisi masa lapang tersebut termasuk mengkhatankan anak lelaki atau lebih dikenali sebagai bersunat atau 'masuk jawi'. 

Telah menjadi trend masyarakat terkini menganjurkan majlis berkhatan secara beramai-ramai kerana selain menjimatkan tenaga, masa dan wang ringgit, ia juga antara usaha merapatkan hubungan sesama jiran tetangga.
Amalan mengkhatankan anak-anak lelaki, kalau diperhatikan ada sedikit perbezaan antara dahulu dan sekarang. Jika sebelum ini ibu bapa memilih menyunatkan anak lelaki pada usia agak lewat iaitu sekitar usia 12 tahun, namun kini anak-anak sekitar tujuh tahun telah dikhatankan.

Di dalam Islam, berkhatan adalah perkara sunat kerana ia dapat menjaga kebersihan dan dari sudut positif, berkhatan mampu mengelak seorang lelaki mengalami kanser zakar manakala bagi seorang wanita ia mampu mengurangkan risiko dijangkiti barah pangkal rahim daripada pasangannya.

Menyedari kepentingan tersebut, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pasir Pekan Hilir, Tumpat mengambil inisiatif menganjurkan majlis berkhatan yang diadakan secara beramai-ramai di sini, baru-baru ini.
Di majlis tersebut, seramai 25 murid miskin yang sebahagiannya merupakan anak kepada ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) kawasan berkenaan, menyatakan kesediaan untuk berkhatan. Majlis disertai oleh kanak-kanak lelaki berusia lima hingga 12 tahun.

Keghairahan mereka untuk menempuh alam dewasa terserlah kerana sejak pukul 8 pagi lagi, mereka sudah siap sedia berkumpul di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pohon Tanjong di sini.
Selepas diberi taklimat ringkas oleh Naib Pengerusi KRT Pasir Pekan Hilir, Abdullah Ismail, 60, beliau turut menyampaikan sumbangan kain pelekat kepada kanak-kanak yang terlibat dalam majlis tersebut.
Menurut Abdullah, majlis bermula pukul 9 pagi diwarnai dengan majlis suapan pulut kuning oleh ibu bapa masing-masing dan disusuli bacaan doa selamat.

Sepanjang majlis berlangsung, pelbagai ragam kanak-kanak dilihat. Ada yang teruja untuk berkhatan dan tidak kurang juga yang kelihatan seperti ketakutan namun dipujuk oleh ibu bapa masing-masing. Kesemua peserta bertolak ke Klinik Kesihatan Bunohan setengah jam selepas itu.

"Majlis ini bertujuan membantu kanak-kanak miskin yang sekali gus meringankan beban ibu bapa. Di samping itu juga diharap kerjasama ini memupuk semangat perpaduan antara penduduk di sini.
"Kos perbelanjaan berkhatan ini berjumlah RM1,500 semuanya dan ia ditanggung oleh KRT Pasir Pekan Hilir dan kami bercadang menjadikan majlis seumpama ini sebagai acara tahunan," katanya .
Sementara itu, seorang bapa peserta, Salleh Abdullah, 63, ketika ditemui memberitahu dia menyambut baik penganjuran majlis tersebut kerana dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan.
"Dua orang anak saya menyertai majlis berkhatan kali ini dan syukurnya ia dapat mengurangkan beban tanggungan saya hadapi," katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Mohd. Syahmil Aiman Wan Norzab, 9, ketika ditemui memberitahu, berasa seronok kerana berjaya melepasi pengalaman dan ujian yang dianggap getir itu bagi setiap muslim yang akan menuju alam remaja.

"Saya tidak berasa takut atau gentar kerana semua kanak-kanak lelaki beragama Islam akan melalui peristiwa yang sama apabila telah sampai masa untuk berbuat demikian," ujarnya.

Bagi Abdul Hakim Ghazali, 11, pula dia teruja merasai pengalaman berkhatan yang dilakukan pada musim cuti sekolah kerana mereka mempunyai masa yang lebih panjang untuk sembuh.
Tambahnya, ibu bapanya selalu memberi galakan kepadanya untuk berkhatan dan dia pun teringin untuk memasuki alam remaja secepat mungkin.

"Lambat-laun saya akan khatan juga, jadi hari ini saya mengambil kesempatan untuk menyertai program yang diadakan bersama kawan-kawan lain," katanya.

Bagi Ahmad Sayhmi Che Wan Mohd. Yusof, 11, dia berasa amat teruja dan tidak sabar-sabar berkhatan.
Katanya, dia bersetuju dengan cadangan ibu bapanya yang mahu dia berkhatan pada musim cuti sekolah kerana kawan-kawan sebayanya sudah ramai yang berkhatan dan dia juga mahu turut serta sebelum melangkah ke sekolah menengah.

No comments:

Post a Comment